Tuesday, February 3, 2009

Meet Uncle Hussein


Sebelum ini saya kurang mengenali kumpulan ini. Mungkin kerana versi rock agak jauh dari jiwa dan jarang mendengar lagu di corong radio. Ketika menggelintar di ruangan maya mencari maklumat mengenai kumpulan ini, ternyata Meet Uncle Hussein merupakan salah satu kumpulan terkenal di Malaysia. Saya dapati mereka begitu sinonim dikenali sebagai kumpulan muzik bebas dan membawa masuk muzik jenis Indie ke dalam industri hiburan Malaysia. Setakat ini, kumpulan ini sudah pun berjaya untuk berdiri segah dengan artis lain apabila berjaya membuka lembaran baru melibatkan muzik rock tempatan yang setanding dengan negara lain.

Ditubuhkan dan diasaskan oleh seorang komposer bernama Tassiq Saidi Hashim, diikuti pula oleh Taja (Gitaris Utama) dan Lan (Penyanyi utama yang berinspirasi). Gabungan muzik dan lirik agak unik. Vokal yang boleh menjadi halwa telinga dan disusun atur dengan baik melalui petikan gitar. Banyak pendapat menyatakan bahawa Album debut ‘Lapan Tahun’ telah digabungkan dan berjaya membentuk satu prospek baru terhadap perkembangan muzik rock di negara kita.

Meet Uncle Hussein juga mengeluarkan muzik yang mengisahkan tentang aktiviti harian kita atau isu masyarakat seperti kerja (Kerja), perselingkuhan hati (Pari-pari dan Hilang), perbuatan menunjuk-nunjuk dan tidak ikhlas (Pura-pura) dan juga mengisahkan tentang keinginan US campur tangan di pertengahan Asia (Hulu Malang). Lagu yang dibawa mereka ternyata mempengaruhi golongan muda remaja dan lain-lain. Sebagai bukti, mereka dinobatkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23) sekaligus mempamerkan kemampuan mereka untuk bersaing dengan artis yang lainnya.

Jika dihayati lagu yang kita bincangkan, liriknya juga berkisar tentang ragam percintaan kehidupan remaja. Keserasian akan diterjemahkan dalam bentuk ikatan yang lebih teguh tetapi jika tiada keserasian lagi wajar sahajalah mereka berpisah. Dendangan MUH menerusi Lagu Untukmu’ menceritakan luahan hati seorang lelaki yang merasakan dirinya telah dipermainkan. Tiada lagi persefahaman antara mereka lantaran kedua-duanya tidak boleh lagi seiringan dalam menikmati cinta mereka. Bahagia tidak dapat lagi diterjemah sebagai sesuatu yang indah dan si lelaki mengambil keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat cinta mereka.
..al-kisah..

1 comment:

  1. Alangkah indahnya jika 'Lagu Untukmu'didendangkan oleh kumpulan 'Jumpa Pak Hussein'

    Hehehehehe

    ReplyDelete